Followers

Wednesday, April 10, 2013

Luahan Insan Terpinggir

Badan aku terhuyung hayang, sesekali bahu kanan terhentak di sisi pintu. Jalan yang dipenuhi lubang-lubang menyebabkan pemanduanku kelihatan seperti orang mabuk jika dilihat dari pandangan belakang. Laluan berjarak 1km terasa panjang terasa terlalu lambat melebihi pejalan kaki. Kurang pasti siapa wakil rakyat yang bertanggujawab dalam kebajikan masyarakat di kawasan ini. Aku menarik nafas lega, mungkin juga nafas berat, kampung ini tidak jauh dari pejabat daerah namun entah kenapa kurang di ambil perhatian. Cuma isu berbangkit dari pilihan raya yang lepas-lepas tidak pernah berkesudahan. Isu pembesaran lapangan terbang dan kampung ini akan diratankan dan penduduk diarahkan berpindah tanpa pampasan. Penduduk bangun menentang, dan isu ini tengelam. Pertama kali perkara ini berbangkit ketika itu aku berumur 9 tahun, ekoran surat pekeliling sampai ketangan ayah maka keputusan drastik dilakukan kami berpindah. Berpindah kerumah baru yang hanya siap dinding,atap dan separuh lantai, tingkap hanya ditampal dengan plywood yang tiap pagi perlu di buka dan malam hari di ketuk dengan paku kecil. Lantai yang baru siap separuh juga ditutup dengan plywood saja. Cuma kerja tambahan selepas balik sekolah membantu ayah menyiapkan lantai rumah yang masih separuh belum dipasang. Hanya separuh lantai ruang tamu dan keseluruhan lantai dapur saja yang siap sama mula-mula kami berpindah. Rumah lama mak ambil keputusan untuk disewakan sementara keputusan pampasan diberikan kepada penduduk. Namun sehingga hari ini aku berumur 24 tahun isu ini masih belum selesai. Dan buat pertama kalinya aku menemani mak menghadiri 'meeting' bersama penduduk kampung. Aku hanya mendiamkan diri kerana rata-rata yang menghadiri hanya golongan tua. Cuma sesekali aku bersuara memberikan bantuan kepada pak cik atau mak cik untuk menulis nama di buku kehadiran. Rata-rata ramai yang buta huruf, hanya segelintir saja mampu membaca dan menulis dikalangan yang hadir. Dalam hati berbisik 'patutlah mereka di tindas'.

Mereka hanya golongan tua yang masa mudanya membanting tulang demi sesuap nasi, demi anak-anak melanjutkan pelajaran dan demi kehidupuan yang tidak merempat. Sekadar tidak tahu membaca dan menulis bukan isu besar dikalangan mereka. Mereka kebanyakannya lahir sebelum merdeka. Menjalani kehidupan disaat negara baru merangkak membangunkan negara. Terlalu ramai hak rakyat tidak terbela. Kerana itu mereka bangkit dengan usaha sendiri tanpa pertolongan dan subsidi negara. Kebanyakan rakyat miskin ini tidak menerima sebarang bantuan. Buta huruf seperti mereka tahu apa pasal bantuan. Singgah ke jabatan kerajaan juga mengusarkan mereka. Hendak tulis nama sendiri pun tidak tahu apa lagi perlu mengisi borang yang panjang berjela. Dengan pelbagai syarat dan juga dan dokumen-dokumen yang perlu di bawa tentu memakan banyak masa. Lebih baik waktu yang ada mereka berkerja. Mencari sumber kewangan sendiri agar dapur mereka berasap. Ya agak janggal di abad 21 ini mendengar isu kemiskinan negara. Kita negara merdeka, mempunyai sumber pendapatan yang banyak, kutipan cukai yang tinggi namun rakyat masih ada yang cukup-cukup makan. Isu merobohkan rumah mengetarkan jiwa mereka, selagi tiada kata putus selagi itu lena mereka terusik. Bertahun kisah ini terkubur kini bangkit lagi. Rumah wakil penduduk kampung terasa bahangnya. Aku cuba mencerna sebanyak mana yang aku mampu. 

Pada mulanya aku enggan untuk datang, pasti bosan, namun ia mencelikan aku. Terasa pahit dianak tekak. Aku bekas pelajar yang menerima bantuan biasiswa Kerajaan negeri, Mungkin setiap sen yang aku belanjakan adalah hasil jerit payah penduduk kampung ini. Aku cuba memahami penderitaan mereka, jauh mengetuk-ngetuk pangkal hati. Ekonomi pembangunan yang menjadi fokus pembelajaranku di universiti menari-nari di tubir mata. Masih jelas suara pensyarahku En, Fuad. "Pembangunan itu bukan bangunan". Saat ini aku mengakui 100% kenyataannya. Jawapan jelas dihadapan mata. Aku bandingkan 'meeting yang sering aku hadiri semasa tempoh pembelajaranku, lebih kemas dan tersusun. Satu-satu diberi peluang untuk bersuara. Di sini aku hanya mendengar suara yang saling bertingkah, Macam ada dua kelompok yang bersuara. Golongan wanita tidak kurang hebatnya berkata-kata. Ruang yang sempit terasa semakin sesak dengan kepulan asap yang menyesakan pernafasan. Kepalaku berdenyut seiring udara yang disedut tidak menyenangkan dengan isu yang membentak pemikiran, mereka bersuara berapi-api tapi tiada wakil rakyat yang duduk bersama. Ia umpama cerita kedai kopi yang akan tamat selepas bersurai nanti. Hanya berharap kepada wakil penduduk yang bertemu wakil rakyar. Isu ini makin hangat seiring pihan raya yang bakal tiba.

Aku sama sekali bukan membentak kerajaan, cuma aku menyuarakan suara insan terpinggir.
Masih teringat lagi biacar wakil penduduk kampung
"Dulu sebelum rakyat bagi kepercayaan sanggup bersusah senang bersama.saya la orang yang ada bersama dia saat itu, meyakinkan penduduk dipersekitaran, Kini bila dah dapat apa yang dia mahu, pagar rumah dibina tinggi-tinggi, tembok tebal keliling rumah...."
Entah apa lagi bicara wakil rakyat saat itu, yang aku pasti kepala terus berdenyut, berapa kali memberi isyarat kepada mak supaya boleh balik awal.Aku lihat wajah-wajah tua yang berada di sekitar, datang dengan berpayung dan selipar jepun, bersarung dan berbaju T-shirt lusu, di tengah rumah seorang tua mengulung rokok daun. Dia bukan datang untuk pertahankan haknya demi dirinya yang dimamah usia namun untuk anak-anak dan generasi seterusnya. Dia tidak punya harta banyak, cuma da rumah kayu mungkin lebih banyak lubang, atap bocor. Dia hanya ingin penempatan. Sekali lagi bukan untuk mereka orang tua yang lanjut usia tapi demi generasi muda. Mereka orang tua yang memikirkan apa yang bakal berlaku pada cucu cicit keterunan mereka.

No comments:

Post a Comment